Petua Orang Lama untuk Panjang Umur
Adakah anda tertanya-tanya bagaimana orang dulu dulu boleh menjangkau umur yang agak panjang, malah ada yang boleh melebihi 100 tahun. Tidak dinafikan usia kita adalah ketentuan Yang Maha Esa, namun terdapat beberapa petua dan amalan yang dikongsikan oleh orang lama untuk memiliki usia yang panjang, antaranya ;
1. Amalan atau tabiat pertama yang perlu diberi perhatian oleh mereka ialah mereka makan 5 sajian bersaiz kecil setiap hari. Masyarakat di Barat mengambil makanan sebanyak 3 kali sehari, tetapi sebenarnya adalah lebih baik untuk menikmati makanan sebanyak 5 kali sehari. Tetapi mesti ingat, ia perlulah dalam kuantiti yang kecil sahaja.
Kenapa begitu? Kerana apabila anda kerap makan namun dalam kuantiti yang sedikit, anda akan kekal menyalurkan nutrien, tenaga, darah dan gula untuk keperluan tubuh sepanjang hari. Makan dengan cara ini juga tidak membebankan sistem penghadaman dan sistem metabolisme. Ia sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.
2. Senaman setiap hari boleh menjadikan anda seorang yang sihat, menguatkan sistem imunisasi, otot dan menambah tenaga. Jangan jadikan kerja yang padat sebagai alasan untuk anda tidak melakukan aktiviti fizikal. Cuba cari peluang untuk berjalan laju, berjoging atau mungkin juga menaiki basikal ke tempat kerja sekiranya tempat kerja dan kediaman tidak terlalu jauh. Selepas solat Subuh boleh menyertai kumpulan taichi di taman perumahan, atau mungkin juga boleh mula mendaftar di mana-mana pusat gimnasium berhampiran. Mulakan sekarang dan anda pasti akan nampak kesannya.
3. Ketawa dan bergembiralah. Ketawa sebagai ubat memang telah diketahui kemujarabannya. Ketawa juga dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dan menghasilkan sel semula jadi yang melindungi tubuh dari kesakitan dan penyakit kanser. Apabila kita ketawa, hormon endorfin dihasilkan, sekali gus memberikan satu perasaan tenang dan puas. Memang tidak dinafikan lagi mereka yang hidup dalam kegembiraan hidup lebih lama dan sihat, berbanding mereka yang sentiasa bersedih.
4. Pastikan minum 8 gelas air setiap hari. Air amat penting bagi memastikan tubuh berfungsi secara sihat. Para saintis juga bersetuju bahawa air yang bersih daripada pencemaran kimia dan toksik adalah baik untuk kesihatan, dan umur yang panjang.
Jadi, pilihlah air yang telah ditapis di mana proses penapisan yang terbaik ialah menerusi arang yang diaktifkan kerana ia mengasingkan benda asing, tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kandungan mineral. Perlu juga diingatkan, jangan menyimpan air di dalam bekas plastik kerana bahan yang terkandung dalam plastik boleh meresap ke dalam air.
SPONSORED