Petua Untuk Mengikis Perasaan Benci
Rasa benci sesama mukmin itu adalah dorongan syaitan dan wajiblah kita bendung habis-habisan daripada bersarang dalam hati kita. Hayatilah firman Allah ini, “Sesungguhnya syaitan menghendaki supaya menjatuhkan kamu dalam permusuhan dan berbenci-bencian sesama kamu.” ( Maksud Surah Al-Maidah ayat 91). Jadi, hindarilah memfitnah sesama manusia kerana akan menimbulkan perasaan kebencian yang serius selain gejala itu bukan lambang ketamadunan hati orang yang beriman dan bertakwa.
Jika kita rajin menelusuri sejarah tamadun sesuatu bangsa dan negara, maka didapati salah satu punca keruntuhannya adalah disebabkan berlakunya gejala fitnah itu. Hal itu termasuklah ketika zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka. Masyarakat sesama Muslim saling berdengki, khianat dan memfitnah lalu keadaan tidak stabil dalam negara diambil peluang oleh Portugis untuk menawan singgahsana kemasyhuran Kesultanan Melayu Melaka ketika itu. Demikian jugalah dengan apa yang berlaku di beberapa kerajaan lain seperti semasa kerajaan Bani Umaiyah, Abasiyah, dan Turki Uthmaniyah. Salah satu daripada faktor keruntuhan mereka disebabkan masyarakat di dalam negara tersebut tidak bersatu, saling membenci, memfitnah dan ini membuka ruang dan peluang kepada musuh untuk menjatuhkannya.
Ambillah iktibar daripada perjalanan sejarah. Jangan biarkan negara kita yang aman sentosa ini dicemari dengan budaya fitnah meliar yang menghalang kesepaduan ummah. Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pernah berkata: “Apabila hati kita bersih, kita dapat mengelakkan diri daripada busuk hati, kita dapat menghindari daripada buruk sangka, fitnah-memfitnah dan segala kemungkaran dan kejahatan, bukan saja bagi diri kita, tetapi juga bagi keluarga, jiran dan masyarakat kita.”
Jadi, kesimpulan yang boleh diambil adalah, elakkanlah dari membiarkan rasa benci wujud di dalam hati ini terus menjalar. Bukalah minda, kuatkan akal, dan tambahkan ilmu dan iman di dalam diri ini. Disamping itu, tanamlah 3 prinsip dibawah ini agar kita dapat mengelakkan perasaan benci itu terus melarat di dalam diri kita ;
1. Bersangka baik pada setiap perkara yang dilakukan orang lain.
2. Sucikan hati dengan sentiasa lakukan amalan untuk dekatkan diri pada Tuhan. Banyak sedekah, zikir, menolong saudara dan sahabat.
3. Orang yang kita sedang benci itu sebenarnya adalah aset untuk kita suatu hari nanti. Semua orang sekeliling kita adalah aset (secara langsung atau tidak langsung) untuk kita, pada masa hadapan.